Pages

Ads 468x60px

Wednesday 3 July 2013

Teknologi Pendidikan

TEKNOLOGI PENDIDIKAN


Teknologi Pendidikan ialah satu bidang yang berkaitan dengan usaha memudahkan pembelajaran dan menarik minat murid dalam pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Bidang ini meliputi aktiviti berikut:
• Mengenalpasti semua bahan sumber pendidikan dan sumber manusia untuk P&P
• Membangun, menghasil, mengelola dan menggunakan bahan sumber P&P
• Mengurus proses mengenalpasti, membangun, mengelola dan mengguna bahan sumber P&P
Penggunaan teknologi pendidikan secara terancang dan teratur akan menjadikan proses P&P lebih bermakna dan berkesan. Justeru, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknologi pendidikan supaya dapat memilih, mengurus, mengguna dan menilai bahan untuk meningkatkan keberkesanan P&P.


• Teknologi Pendidikan ialah aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknik ke arah pencapaian P&P yang berkesan (BTP, 1991)
• Teknologi Pendidikan ialah kombinasi proses dan alat yang terlibat untuk menangani keperluan dan masalah pendidikan dengan memberi penekanan kepada aplikasi alat yang terkini: komputer dan teknologi yang berkaitan (Roblyer, 2003).
• Teknologi Pendidikan ialah satu bidang dan amalan etika yang praktikkan untuk memudahcara dan meningkatkan keberkesanan P&P melalui penghasilan, penggunaan dan pengurusan sumber dan proses teknologi yang sesuai (AECT, 2004).


• Sumber pendidikan digunakan untuk membantu guru dan murid melalui proses P&P dengan lebih berkesan.
• Penggunaan sumber pendidikan perlu dirancang dalam tiga peringkat, iaitu:
o Sebelum penggunaan - merancang masa dan cara bagaimana mengaitkannya dengan topik yang diajar
o Semasa penggunaan - merancang ulasan dan penekanan aspek-aspek penting yang dapat membantu proses P&P
o Selepas penggunaan - merancang aktiviti lanjutan/pengayaan dan pengukuhan

• Sumber pendidikan dipilih berdasarkan kesesuaiannya dari segi topik dan objektif P&P, latar belakang murid, saiz kelas dan keadaan fizikal bilik darjah
• Sumber pendidikan perlu digunakan untuk mencapai objektif dan peringkat perkembangan P&P
• Sumber pendidikan digunakan mengikut masa yang sesuai untuk mengoptimum P&P


• Bahan yang dapat menjelaskan idea, konsep; dan menerangkan isi kandungan pelajaran
• Bahan yang bersaiz sesuai dan jelas untuk dilihat oleh semua murid
• Tulisan dan gambar yang berwarna-warni bagi menarik minat murid
• Bahan yang digunakan tahan lama dan mudah disimpan


• Melancarkan proses P&P
• Menjimatkan masa, tenaga dan kos
• Mengekalkan minat dan perhatian murid
• Mengelakkan berlakunya kekeliruan atau salah tafsir terhadap konsep yang diajar
• Membetulkan sebarang kekeliruan atau salah tafsir terhadap konsep dengan memberi gambaran yang menyeluruh dan jelas
• Melibatkan pelbagai deria dan meningkatkan daya ingatan murid
• Membantu murid mendapat kesan pembelajaran yang optimum
• Memperkayakan pengalaman murid


Sumber pendidikan merupakan sumber yang berperanan untuk menyokong dan meningkat proses P&P. Penggunaan sumber pendidikan dapat membantu guru menerangkan sesuatu konsep dengan lebih mudah dan menarik serta membantu murid memahami perkara yang dipelajari.
Sumber pendidikan terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahan cetak dan bukan cetak



1.0 Pengenalan
Kemajuan dalam teknologi komputer dan era baru pendidikan pada hakikatnya ingin memastikan yang revolusi maklumat akan mem- pengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh. Teknologi komunikasi akan mempengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh.

Teknologi komunikasi dan maklumat adalah medium sumber maklumat yang mudah dan cepat untuk memperolehi ilmu pengetahuan.Kesedaran kepada kepentingan teknologi maklumat ini telah mendorong kerajaan untuk menerapkan bidang tersebut sehingga ke peringkat sekolah rendah, khususnya di luar bandar. Ini adalah kerana selain daripada kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), satu lagi kemahiran asas yang diperlukan oleh pelajar untuk bersaing di alaf baru ini ialah celik komputer.

Celik komputer adalah apabila seseorang mempunyai kefahaman asas fungsi komputer, dapat menggunakan komputer bagi memudahkan pelaksanaan tugas-tugas harian sama ada untuk kegunaan peribadinya atau untuk pekerjaannya dengan cekap dan berkesan, dan dapat berinteraksi dengan komputer dengan menggunakan aplikasi-aplikasi seperti multimedia dan Internet. Kemajuan yang begitu pesat dalam bidang teknologi elektronik, satelit, telekomunikasi dan teknologi maklumat membolehkan seseorang itu
menyampai, mengumpul, menyalurkan, menyebarkan, mengurus, memproses atau menyimpan pelbagai jenis maklumat dengan cepat dan mudah. E-mel, World Wide Web, teknologi digital, Internet, CD-Rom dan bahan multimedia interaktif menjadi alat atau kemudahan baru dalam sistem pendidikan bersifat bestari. Menurut Tengku Azzman (1998), terdapat tiga sebab utama mengapa komputer diperlukan dalam pendidikan. Pertama, banyak maklumat yang boleh dicapai daripada komputer tidak boleh dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kedua, kemampuan mengutip dan menyimpan maklumat serta pengetahuan hanya dapat dikelolakan dengan cekap oleh komputer. Ketiga, maklumat dan pengetahuan yang menjadi kunci untuk ikhtiar dalam kehidupan manusia, terutamanya untuk pelajar itu sendiri.

Antara halangan utama penggunaan komputer di sekolah ialah kekurangan perkakasan yang terkini (Becker, 1991), kebanyakan sekolah telah dibekalkan dengan perkakasan berteknologi lama, berkualiti rendah dan berkuasa rendah (Hasselbrig, 1991) dan bilangan yang dibekalkan adalah tidak mencukupi (Cedoline, 1982; dan Vitchoff, 1989).

Penggunaan komputer dalam pendidikan merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Komputer dalam pendidikan membolehkan pelajar sekolah menguasai pengetahuan dan kemahiran asas supaya mereka boleh menggunakan kemudahan ini untuk pembelajaran dan persediaan menghadapi cabaran masyarakat yang berasaskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Kesan negatif yang mungkin timbul daripada kemunculan ICT ialah jurang perbezaan yang lebih besar di antara pelajar bandar dan luar bandar, memandangkan prasarana yang masih belum mencukupi untuk membolehkan mereka dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya maklumat malah masih ada sekolah yang belum ada makmal komputer untuk digunakan. Sebagai langkah merapatkan jurang ICT antara pelajar bandar dan luar bandar, kerajaan dalam belanjawan 2001 telah berjanji akan menubuhkan sebanyak 1,262 buah makmal komputer di sekolah-sekolah di luar bandar (Utusan Malaysia, 28 November 2000).


2 Teknologi dalam Pendidikan

Majlis Teknologi Pendidikan, United Kingdom mendefinisikan teknologi dalam pendidikan sebagai suatu pembentukan, penerapan, dan penilaian sistem, teknik dan bantuan untuk memperbaiki proses pembelajaran (CET, 1979). Pusat Kebangsaan Pembelajaran Terancang, United Kingdom pula mendefinisikan teknologi dalam pendidikan sebagai penerapan ilmu saintifik mengenai pembelajaran dan juga syarat pembelajaran untuk memperbaiki keberkesanan dan kecekapan pengajaran dan latihan (Cowen, 1980).
Manakala Suruhanjaya Teknologi Pengajaran, USA sebaliknya mendefinisikan teknologi dalam pendidikan sebagai suatu cara yang sistematik untuk merekabentuk, melaksana, dan menilai keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) dari segi objektif khusus, berdasarkan penyelidikan terhadap pembelajaran manusia dan komunikasi dengan menggunakan gabungan sumber manusia dan bukan manusia untuk membawa kepada pengajaran yang berkesan (Bjerstedt, 1972).

Teknologi maklumat memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha membantu Malaysia menjadi sebuah negara yang maju. Multimedia Super Corridor (MSC) ialah suatu projek teknologi maklumat yang sangat penting ke arah meningkatkan taraf ekonomi Negara, taraf pendidikan rakyat, peningkatan sains dan teknologi, peningkatan perdagangan antarabangsa dan pentadbiran yang lebih bersistematik.

Pengajaran Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK) telah dapat dikenal pasti sebagai bahan yang dapat membantu guru dan pengalaman mereka dalam mata pelajaran yang diikuti. Pihak Kementerian sedang berusaha menyediakan bahan PPBK yang secukupnya bagi empat mata pelajaran iaitu Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang akan digunakan oleh pelajar-pelajar. Peranan guru-guru pula adalah untuk memberikan bantuan sebagai fasilitator di kalangan pelajar.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa teknologi dalam pendidikan adalah suatu alat, prinsip dan pendekatan saintifik dalam merancang dan melaksanakan proses P & P berbantukan teknologi yang dapat membuka jalan kepada pelajar untuk menguasai atau memperolehi matlamat pembelajaran yang telah dirancang oleh sesuatu kurikulum atau mata pelajaran. Definisi ini juga tidak boleh meninggalkan keperluan terhadap peralatan tertentu seperti bahan bercetak, bahan multimedia, bahan elektronik dan bukan elektronik yang lain dalam membantu pendidik mencapai matlamatnya.


2.1 Takrifan Teknologi Pendidikan

Menurut Crowell (1971), dalam Encyclopedia of Education "Teknologi pendidikan ialah gabungan manusia, peralatan, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada pendidikan". Manakala menurut Uhwin Derek (1976): Applying Educational Technology, teknologi dalam pendidikan ialah penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam keperluan latihan, yang meliputi kemudahan belajar dengan menggunakan persekitaran setakat mana ianya menimbulkan pembelajaran. Dengan itu, teknologi pendidikan ialah satu sistem yang meliputi alat dan bahan media, organisasi yang digunakan secara terancang bagi menghasilkan kecekapan dalam pengajaran dan keberkesanan dalam pembelajaran.
2.2 Kepentingan Teknologi Pendidikan dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Teknologi pendidikan membawa erti yang besar dalam P & P. Antara kepentingannya ialah bagi melicinkan proses P & P kerana ia berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan. Teknologi pendidikan juga dapat menjimatkan masa, tenaga dan wang , mengelakkan rasa bosan pelajar seterusnya mengekalkan minat pelajar. Ia juga boleh menghiburkan pelajar serta mengelakkan dari berlakunya tidak faham atau salah tafsir terhadap konsep melalui deria melihat, mendengar atau menyentuh.

Teknologi pendidikan dapat membetulkan sebarang kekeliruan atau salah tafsir kerana ia memberi sesuatu gambaran yang menyeluruh dan jelas sesuatu konsep dan kaitannya dengan kehidupan seharian yang mana ia melibatkan pelbagai deria pelajar dengan penggunaan visual yang diikuti oleh audio akan melibatkan deria lihat dan dengar dan mungkin deria sentuh. Penglibatan deria ini akan meningkatkan daya ingatan pelajar.
Ia juga memberi kelainan dan kepelbagaian kepada kaedah mengajar agar dapat membantu pelajar mendapat kesan pembelajaran yang maksimum dengan penggunaan masa yang minimum dan memperkayakan pengalaman pelajar dengan menggunakan media bergerak yang mana boleh memperkayakan pengalaman murid yang tidak pernah mereka lihat atau alami akan dapat di saksikan sendiri dan seolah-olah mengalaminya.

P & P akan memberikan keselesaan kepada pelajar untuk belajar dan meneroka ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai komponen perkakasan komputer berasaskan kadar keupayaan masing-masing selain dapat memudahkan pelajar menimba ilmu pengetahuan asas, konsep, prinsip dan fakta. Komponan perkakasan komputer adalah berdasarkan kandungan bahan yang disediakan agar mereka boleh berdikari dalam mencari maklumat dan penemuan untuk memenuhi sebarang tugasan melalui pencetusan satu perbincangan yang menarik di kalangan pelajar dan guru.

Guru diberi tugas untuk menjana modal insan gemilang bukanlah satu perkara yang baru tetapi ia adalah matlamat atau impian bagi setiap guru terhadap pelajar-pelajarnya dalam mengharungi proses P & P.
2.3 Prinsip Menggunakan Teknologi Pendidikan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran
Teknologi pendidikan merupakan sebagai bahan bantu mengajar dan tidak boleh digunakan untuk menggantikan pengajaran. Ia digunakan untuk membantu guru mengajar sesuatu topik dengan lebih berkesan. Ia mesti digunakan untuk pengajaran dan bukan untuk hiburan dan membuang masa di mana penggunaannya mesti dirancang dalam tiga peringkat iaitu pada peringkat sebelum kegunaan bagi merancang masadan cara bagaimana mengaitkannya dengan topik pengajaran. Kegunaannya akan dapat merancang ulasan dan penekanan aspek-aspek penting yang dapat membantu pembelajaran dan selepas kegunaannya pula ia dapat merancang aktiviti lanjutan seperti soalan-soalan, kesimpulan dan penilaian.
Teknologi pendidikan mesti dipilih berdasarkan kesesuaiannya dari segi topik dan objektif pelajaran, latar belakang pelajar, saiz kelas dan keadaan fizikal bilik darjah dan mesti digunakan untuk mencapai sesuatu objektif pelajaran. Peringkat perkembangan pelajaran pula adalah sama ada semasa pengenalan topik, perkembangan pelajaran iaitu penerangan konsep, semasa penutup dan kesimpulan topik pelajaran dan di akhir pengajaran iaitu semasa penilaian kefahaman terhadap topik.

Terdapat pelbagai jenis PPBK yang mempunyai kelebihan dan kesesuaian masing-masing dalam penggunaan matapelajaran di peringkat rendah, menengah dan tinggi. Di antara jenis PPBK yang dapat dilakukan adalah semasa latihtubi di mana suatu latihan yang diberikan oleh komputer dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran. Ia juga memberikan maklum balas kepada pelajar dan akan membolehkan mereka yang kurang berpengalaman dapat mengikuti perjalanan pelajaran mengikut tahapnya sendiri dan dapat memaparkan kemajuannya pada bila-bila masa sahaja.

Tutorial melibatkan komputer dapat memperkenalkan bahan-bahan pembelajaran yang disampaikan secara berperingkat-peringkat dan diikuti dengan soalan-soalan. Komputer akan menyemak jawapan dan memberikan maklum balas dan ia bersesuaian untuk memperkenalkan isi kandungan baru, mengulangkaji dan pemulihan kepada pelajar yang berpencapaian rendah dalam peperiksaan.

Simulasi pula merupakan suatu situasi yang disediakan oleh komputer dengan memberikan gambaran sebenar terhadap sesuatu objek, proses atau peristiwa.

Permainan merupakan jenis PPBK yang melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan di mana pelajar akan membuat keputusan, mengikut arahan dan peraturan. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan dimasukkan bersama-sama semasa pelajar mempelajari sesuatu kemahiran dalam PPBK. Ianya akan dapat memperkembangkan kemahiran mental, kematangan berfikir, menambah pengetahuan dan juga secara tidak langsung sifat kesabaran akan wujud dalam diri para pelajar.

Penyelesaian masalah adalah suatu perkara yang dianggap sangat rumit oleh para pelajar. Mereka menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan yang tepat dan baik. Mereka akan ragu-ragu dan keliru dalam membuat sebarang keputusan. Dengan bantuan komputer yang mempunyai daya tarikan animasi, pergerakan dan bunyi, mereka akan dapat menyelesaikan masalah dengan lebih yakin dan tepat.
Pembelajaran yang berasaskan komputer mempunyai prinsip. Alat elektronik ini boleh menyimpan arahan dan data dalam memorinya dan melaksanakan arahan dalam susunan yang logik.

2.4 Ciri-ciri dan Jenis Teknologi Pendidikan yang Baik

Teknologi pendidikan yang baik merupakan alat yang dapat menjelaskan idea-idea yang kabur dan menerangkan isi-isi pelajaran, sebagai contoh penggunaan cek terbuka dan tertutup dapat diperbesarkan. Alat yang besar dan jelas untuk dilihat oleh semua pelajar di mana tulisan dan angka yang ditulis dalam transperensi mestilah besar dan jelas manakala tulisan dan gambar perlu dipelbagaikan warnanya di mana kepelbagaian warna pen dapat memberi penekanan kepada perkataan-perkataan dalam topik yang ingin diajar. Penggunaan bahan yang boleh tahan lama dan boleh disimpan akan dapat menunjukkan hasil dan kemahiran yang baik sekiranya alat dibuat sendiri.

2.5 Faedah Penggunaan Teknologi dalam Pendidikan

Kepentingan penggunaan teknologi dalam pendidikan tidak dapat disangkal lagi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa teknologi atau sesuatu alat bantu mengajar dalam bahasa sememangnya dapat membantu pencapaian pelajar menguasai aspek bahasa dengan lebih baik (Dowling, 1999; Giesert & Futrell, 1990; Mahzan Arshad, 2003).

Teknologi memberikan kesan yang besar terhadap proses P & P terutama semasa membuat pemilihan bahan teknologi dalam pelbagai cara. Bagaimana pun, guru harus mempunyai pengetahuan yang jelas dalam memilih bahan teknologi yang boleh digunakan dengan berkesan dalam sesuatu sesi pengajaran dalam bilik darjah.

Di samping mengetahui bagaimana hendak menilai secara berterusan bahan teknologi dan menentukan bahan teknologi yang akan digunakan untuk membantu pencapaian objektif pembelajaran, pemilihan bahan teknologi bukanlah sukar dilakukan oleh seorang guru yang mempunyai pengalaman dalam menggunakan bahan serta kerap membuat penilaian kendiri terhadap pencapaian pelajar setelah sesuatu bahan digunakan.

2.6 Pelbagai Bahan Teknologi dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

2.6.1 Papan Tulis Elektronik

Dahulu papan tulis dipanggil papan batu, papan kapur atau papan hitam kerana papan ini ditulis menggunakan pelbagai alat tulis. Papan batu ditulis menggunakan kapur batu, papan kapur atau papan hitam ditulis menggunakan kapur putih atau kapur warna. Tetapi sekarang papan dengan fungsi yang sama ditulis menggunakan pen sinar letrik atau sinar laser. Walaupun teknologi telah banyak berubah, papan tulis tetap digunakan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan. Ia boleh digunakan dengan mudah dan lebih bersifat mesra pengguna. Guru boleh terus menunjukkan idea yang diperkatakannya atau diperkatakan oleh pelajarnya serta mencungkil pemikiran pelajar dalam bilik darjah dan menonjolkannya secara spontan sama ada dalam bentuk grafik atau perkataan di papan tulis untuk tatapan semua, sama ada dalam tempoh yang lama atau sebentar. Harga dan kos menjaganya tidak begitu mahal,ia mudah diperolehi dan disediakan dalam bilik darjah, guru tidak perlu latihan yang khusus dan terlalu teknikal untuk menggunakannya tetapi tidak begitu bagi papan tulis elektronik terkini di pasaran. Guru dan pelajar juga boleh menampal lain-lain bahan untuk ditayangkan kepada pelajar yang lain, malah ia boleh dilekatkan dengan magnet bagi memudahkan bahan dipaparkan kepada kelas.

2.6.2 Bahan Grafik, Gambar, dan Carta

Bahan grafik, gambar dan carta banyak digunakan untuk membantu guru menjelaskan suatu konsep yang sukar untuk dijelaskan dalam bentuk kata-kata. Konsep- konsep yang sukar tersebut lebih mudah dijelaskan dengan menggunakan gambar, grafik atau carta. Terdapat pelbagai bahan grafik dan carta yang berteknologi terkini seperti meng- gunakan grafik dan animasi komputer yang digunakan dalam P & P.

2.6.3 Model

Penguasaan bahasa adalah satu proses permodelan bahasa yang berasal daripada konsep sokongan oleh Vygotsky, yang merupakan konsep pengajaran bahasa yang terkenal (Vygotsky, 1978). Konsep ini amat menegaskan penguasaan bahasa menerusi meniru orang yang lebih dewasa digalakkan memberikan sokongan kepada pelajar bahasa yang lebih muda.


2.6.4 Alat Pandang Dengar Elektronik

Terdapat pelbagai alat pandang dengar elektronik yang boleh digunakan dalam P & P. Antara alat pandang dengar yang biasa digunakan ialah perakam kaset, compact disc, video compact disc, digital compact disc, projektor filem, video kamera, projektor LCD, projektor episkop dan MP3 yang dapat digunakan dengan lebih efektif.

2.6.5 Komputer dan Internet

Komputer adalah teknologi elektronik yang mempunyai banyak keistimewaan sama ada dalam kehidupan harian atau pun dalam bidang pendidikan. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, komputer boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dan teknik. Guru yang berbakat dapat menggunakan komputer secara kreatif dan kritis untuk membantunya mencapai objektif pembelajaran (Giesert & Futrell, 1990).
Sekiranya komputer digunakan dengan secara sistematik dan terancang, proses pengajaran akan berjalan lebih lancar, selain sebarang masalah yang rumit dalam penyampaian dapat diselesaikan dengan mudah (Heinich, 1996). Dengan kata yang lain, kehadiran komputer sebenarnya telah memperkayakan teknik pengajaran dan memudahkan proses tersebut di dalam bilik darjah.

Komputer sebagai bahan simulasi yang mana guru boleh menggunakan program yang mudah seperti persembahan elektronik untuk dijadikan bahan simulasi dalam pelbagai aktiviti dengan cara menulis dan menyediakan bahan persembahan audio dan visual di samping seperti program Real Adobe yang boleh digunakan sebagai bahan simulasi untuk membantu pelajar dalam latihan pengajaran bacaan dan pemahaman bacaan.

Komputer sebagai pakar rujuk iaitu Guru Komputeru yang berperanan seperti seorang manusia yang berupaya mengawal banyak peranti atau perkakasan melalui perintah yang telah diprogramkan. Dalam hal ini membolehkan pelajar dan komputer berdialog mengenai topik khusus. Dalam hal ini komputeru adalah pakar (guru) rujuknya yang mempunyai pelbagai pengetahuan mengenai sesuatu subjek.


3. Sekolah Bestari

Sekolah Bestari adalah berkonsepkan penggunaan ICT sebagai pemangkin ke arah pembestarian dalam persekolahan dan bukannya seperti mana tanggapan masyarakat yang menyangka sekolah bestari merupakan sekolah yang mesti menggunakan komputer dan kemudahan ICT.

Sekolah Bestari Malaysia ialah institusi pembelajaran yang direka semula secara SISTEMIK dari segi amalan P & P serta pengurusan sekolah untuk membantu pelajar menghadapi zaman maklumat yang melengkapkan pelajar untuk pembelajaran sepanjang hayat dan bertujuan untuk menyediakan pelajar supaya boleh belajar sepanjang hayat dengan mengembangkan kemahiran generik yang membolehkan pelajar memperoleh, menganalisis, menilai, mentafsir, mensintesis dan menyampai atau menyebar maklumat.

Objektif Sekolah Bestari adalah untuk mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menghasilkan tenaga kerja yang berfikir dan celik teknologi. Sekolah Bestari juga dapat meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan ke arah mendemokrasikan pendidikan serta mewujudkan peluang bagi meningkatkan kekuatan dan kebolehan individu ke arah membangunkan intelek, rohani, emosi dan jasmani pelajar.

Konsep Sekolah Bestari dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDEC) kini terus memberi tumpuan kepada 88 Sekolah Bestari bagi meningkatkan proses penjenamaan semula sekolah untuk terus unggul sebagai penyedia program k-pembelajaran secara holistik.

Selain itu, ia bertujuan untuk membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar dari segi kekuatan atau kelemahan, kaya atau miskin bagi mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.

Kementerian Pelajaran pula mengorak langkah meneruskan usaha membestarikan sekolah menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sejajar dengan Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan 2006-2010 dalam memperkasa sekolah kebangsaan menerusi penyediaan ICT yang canggih. Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknologi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan P & P disedia-kan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Perkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari di mana guru-guru di sekolah yang dipilih akan diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti P & P melalui penggunaan teknologi terkini di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Strategi P & P di Sekolah Bestari adalah berbentuk Direktif (Directive), Pemerhatian (Observation), Mediatif (Mediative), Generatif (Generative), Koperatif dan Kolaboratif (Co-operative and Collaborative), Konteks Luar (Outside-Context), Metakognitif (Metacognitive), Konteksual (Contextual) dan Kajian Masa Depan (Futuristic Studies).

Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.



4. Menjana Modal Insan Gemilang

Insan gemilang adalah puncak daripada kejayaan-kejayaan yang membawanya ke arah kecemerlangan. Kejayaan pula ialah penggunaan secara maksimum kebolehan yang ada pada diri seseorang untuk menghasilkan pencapaian. Dalam hal ini kebolehan ialah potensi yang harus diperkembangkan secara menyeluruh, bersepadu dan berterusan sepertimana yang ditekankan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Potensi individu mampu diperkembangkan secara berterusan melalui aktiviti kurikulum maupun kokurikulum. Guru harus mengintegrasi dan menggandingkan pelbagai kemahiran dengan ilmu yang diperlukan oleh pelajar dalam proses P & P.

Pengintegrasian kemahiran dibuat dalam kurikulum kebangsaan yang merangkumi pelbagai strategi P & P strategi penjanaan minda kritis & kreatif, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran serta pelbagai kaedah dalam pemupukan nilai-nilai murni yang merangkumi semangat patriotik. Pengintegrasian ini dapat diwujudkan serta dilaksanakan secara berkesan maka guru harus memahami proses pengintegrasian ini agar P & P tidak hanya berperanan sebagai pemindahan ilmu tetapi mampu menerapkan kemahiran melalui perkembangan potensi yang akan membawa perubahan ke atas dirinya.

5. Penutup

Guru yang kreatif serta bijaksana menggunakan teknologi yang ada untuk membantu mereka mencapai objektif pembelajaran dengan lebih mudah. Pelbagai aplikasi teknologi boleh digunakan secara meluas dalam pelbagai aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Di samping itu, guru juga perlu merancang penggunaan teknologi dengan sebaiknya supaya faedah yang maksimum diperolehi daripada bahan tersebut. Pengetahuan mengenai bahan teknologi dan cara penggunaannya perlu dikuasai guru supaya mereka sentiasa peka terhadap perkembangan terkini selain tidak ketinggalan dalam kemahiran teknologi yang setiap masa semakin maju.

Komputer di dalam konteks pendidikan seharusnya mengenal pasti keperluan pelajar, memberi arahan atau pengajaran yang sesuai mengikut peringkat pelajar, memantau dan melapor kemajuan pelajar, menjadi alat pelajar boleh menganalisis data, menulis laporan, dan melayari Internet untuk mendapatkan maklumat bagi meningkatkan pengetahuan mereka dan lain-lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa komputer mampu menyumbang kepada proses pendidikan dalam pelbagai bentuk yang lain. Sumbangan komputer adalah berkait rapat dengan kemahiran, pengetahuan, dan komitmen pengguna itu sendiri.

Oleh itu, kebolehan dan kemampuan menggunakan komputer dengan cekap dan berkesan dapat membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kini tiba masanya Malaysia bersaing dalam arus pembangunan pembelajaran global dengan memantapkan sistem pendidikan sedia ada setanding kualiti pendidikan berteraskan ICT di peringkat antarabangsa. Sejak kerajaan mengumumkan usaha meningkatkan penggunaan ICT dalam pelbagai sektor, bidang pendidikan tidak terkecuali.

ISU : PERKEMBANGAN TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

        Komputer adalah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. ia merupakan suatu alat yang sesuai untuk membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana kemampuannya menerima dan memproses data sehingga 24 jam sehari. Teknologi yang ada juga mampu membantu digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekiranya digunakan dengan sistematik dan berkesan.

       Satu perkembangan yang amat ketara dalam dunia masa kini adalah berlakunya ledakan teknologi maklumat. dengan adanya kemajuan dalam telekomunikasi, komputer yang dihubungka dengan jaringan internet telah membolehkan banyak maklumat diperoleh dengan cepat. Inovasi dalam teknologi maklumat ini dapat menyebarkan segala maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat. Menyedari hakikat ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk terus bertindak memperkembangkan teknologi komunikasi dan maklumat ini denga menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Tujuh aplikasi utama yang terkadung dalam MSC adalah terdiri daripada kerajaan elektronik, tele-perubatan, sekolah bestari, pemasaran tanpa semapadan, kad pintar, kelompok penyelidikan dan pembangunan dan jaringan perusahaan dunia.

        Sejajar dengan perkembangan  ICT, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari yang telah memperlihatkan kesungguhan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mentransformasikan bidang pendidikan agar bangsa Malaysia abad ke-21 ini bukan sahaja menguasai teknologi maklumat malah berupaya merealisasikan Wawasan 2020. Transformasi ini telah mengubah anjakan paradigma pengajar dan pelajar dalam proses pelajaran dan pembelajaran dalam pendidikan khususnya dalam meningkatkan minat pelajar, meningkatkan kreativiti dan pengetahuan pelajar melalui penggunaan teknologi multimedia dan jaringan seluruh dunia.

        Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula melihat ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurukulum, memperkembnagkan teknologi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, melahirkan hubungan yang lebih kuat di antarasekolah-sekolah dan masyarakat dan meningkatkan penguasaan pelajar.
              
                ADAKAH ANDA BERSETUJU BAHAWA PERKEMBANGAN TEKNOLOGI SEIRING DENGAN PENINGKATAN KEGIATAN SEKSUAL?
 

Isu pembuangan bayi kini tidak boleh dipandang remeh lagi. Kebanyakan remaja kini menjadikan kes pembuangan bayi ini satu trend baru dalam gaya hidup mereka. Bagi mereka, cara pembuangan bayi ini merupakan jalan terakhir bagi mereka untuk menyelesaikan masalah sekiranya mengandung luar nikah. Hal ini secara tidak langsung menjadi isu penting yang boleh merendahkan martabat negara kita yang sebelum ini dipandang tinggi oleh negara lain.

Perkembangan teknologi masa kini menjadi salah satu punca masalah sosial seperti kes pembuangan bayi ini kian berleluasa. Seperti yang kita sedia maklum, teknologi yang dicipta bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada masyarakat. Namun, ada pihak yang telah menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk tujuan yang tidak berfaedah. Terdapat sesetengah masyarakat menggunakan teknologi untuk tujuan seks. Laman sosial seperti Facebook, Tagged dan Twitter telah digunakan untuk memaparkan gambar-gambar yang menjolok mata dan aksi yang mengghairahkan. Selain itu, terdapat juga pengguna yang menawarkan perkhidmatan seks melalui laman sosial.

Peralatan berteknologi seperti telefon bimbit dan “webcam” turut disalahgunakan. Terdapat segelintir individu yang melakukan hubungan seks melalui peralatan tersebut. Istilah “Phone Sex” digunakan untuk hubungan seks melalui telefon bimbit. “Webcam” juga digunakan untuk tujuan yang sama melalui alam maya. Pilihan tersebut dibuat kerana ia merupakan salah satu cara individu untuk mendapatkan kepuasan tanpa perlu bersemuka dengan pasangan seks.

Kajian yang dilakukan oleh Farahwahida Mohd. Yusof dan Norazila binti Sugiman (UTM) menunjukkan bahawa faktor media massa menjadi punca utama kepada amalan seks bebas. 357 orang responden daripada 425 orang respnden yang terlibat dalam kajian tersebut mengatakan bahawa video dan gambar-gambar lucah banyak terdapat di pasaran dan mudah dilayari di internet. Hasil kajian tersebut telah menunjukkan bahawa kecanggihan teknologi telah menjadi pendorong kepada perlakuan seks bebas dalam kalangan masyarakat hari ini. Lambakan bahan-bahan pornografi di internet adalah hasil daripada perkembangan teknologi. Oleh yang demikian, penyalahgunaan teknologi menyumbang kepada gejala seksual, sekaligus meningkatkan bilangan kes pembuangan bayi.
 



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

:-)

:-)

Lalalalaaaa~

Sample text

Comel


:-)

Penafian

Hakcipta Terpelihara © 2013 DiarykuPurple
Blog Diarykupurple tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini. Semoga bermanfaat.

Hohohooo~

SHOUT BUSUK : Start !-->