Pidato ‘ Jururawat dulu dan kini ‘
Bismilahhiramannirahim…
Kalau tidak kerana bintang,
Tak akan bulan kelihatan tinggi ,
Kalau tidak kerana pidato,
Tak akan saya berada disini.
Datang bahtera dari Medan ,
Singgah sebentar di laluan Kerai,
Salam satu Malaysia saya hulurkan ,
Kepada warga dewan pembuka tirai.
Assalamualikum W.B.H
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para peserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.
Jauh berlayar ke Tasik Chini,
Singgah Selama membeli rakit .
Jururawat dulu jururawat kini ,
Tonggak utama kesihatan masyarakat.
Hadirin dan hadirat yang dihormati
Tanggal 12 Mei 2012 seluruh dunia akan menyambut Hari Jururawat. Hari Jururawat ini disambut seluruh Malaysia adalah sebagai mengenang jasa bakti para jururawat yang memberi perkhidmatan kejururawatan kepada seluruh masyarakat tanpa mengenal penat lelah mereka bekerja siang dan malam untuk menjaga pelbagai ragam pesakit. Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum pergi lebih jauh. Memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, tarikh itu dipilih sebagai mengenang hari kelahiran Florence Nightingale iaitu pada 12 Mei 1820. Florence Nightingale ni adalah seorang jururawat orang Putih (English Nurse). Beliau juga dikenali sebagai “The lady with the lamp” , maksudnya “Wanita bersama dengan lampunya”. Pada zaman perang Crimean dalam tahun1854, Beliau selalu melawat pesakit pada waktu malam dengan lampunya untuk melihat askar-askar perang yang cedera yang memerlukan bantuan. Lebih kurang macam buat ward round di hospital. Sebab tu dia panggil Lady with the Lamp.
Hadirin sekalian,
Apabila kita menelusuri dua zaman berbeza, ada orang mengatakan zaman dahulu bidang kejururawatan tidak sehebat sekarang menyebabkan ia kurang mendapat tempat dalam kalangan golongan muda. Kalau dahulu jururawat adalah kerjaya pilihan terakhir bagi seorang anak gadis malah pekerjaan tersebut dianggap first class servant, maklumlah tugasnya bertemankan darah dan benda-benda kotor sahaja. Tetapi kini, zaman semakin berubah, masyarakat semakin sedar kepentingan tanggungjawab seorang jururawat, malah bidang kejururawatan sudah dianggap profesional, Pelbagai kemudahan diberi kepada mereka yang menyertai bidang ini, bahkan kerjaya yang digelar 'bidadari suci' ini diiktiraf sebagai kerjaya yang mempunyai masa depan cerah serta menjanjikan pendapatan lumayan.
Kerjaya yang digelar 'bidadari suci' ini biarpun dilihat seperti kerjaya biasa namun ia sebenarnya melibatkan tanggungjawab dan kasih sayang. Hanya yang benar-benar mempunyai kesabaran dan ketelusan hati sahaja layak untuk menggalas tanggungjawab ini. Bahkan golongan ini, mereka sanggup memperjudikan diri sendiri semata-mata untuk membantu orang lain. Mungkin ada yang akan berkata, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk merawat pesakit dan mereka dibayar untuk melakukan tugas-tugas tersebut. Namun realitinya tidak semua daripada kita sanggup melakukannya waima untuk saudara sedarah sedaging.
Hadirin yang dihormati,
Tanyalah pada diri sendiri, siapa yang sanggup bergelumang dengan nanah dan darah setiap hari, malah bukan sekadar itu tetapi terpaksa membersihkan najis pesakit. Tetapi demi kemuliaan yang ada pada diri, mereka yang lengkap seragam putih ini rela mengetepikan semua itu semata-mata kerana tanggungjawab. Sememangnya bergelar jururawat bukan sekadar menuntut kesabaran tetapi menghadapi pelbagai ragam dan kerenah pesakit, di samping berperanan menangani kecemasan dalam semua keadaan.
Malangnya, kemuliaan hati jururawat kurang diberi perhatian menyebabkan tidak ramai menyedari kerjaya itu bukan sekadar mengambil tekanan darah, memberi suntikan mahu pun meladeni kerenah pesakit tetapi ia melebihi daripada itu. Tetapi peranan mereka bukan sekadar membantu doktor sebaliknya perlu melaksanakan kelancaran tugas merawat dan menjalankan prosedur klinikal dengan penuh profesional. Tidak keterlaluan jika 'bidadari suci' ini dikatakan berperanan dalam memastikan kelancaran tugasan doktor dan boleh dianggap sebagai tulang belakang kejayaan sesuatu operasi perubatan. Hakikatnya tugas dan tanggungjawab yang digalas jauh besar sehingga kadang kala mendedahkan nyawa sendiri kepada bahaya.
Hadirin yang dirahmati,
Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa Jururawat mempunyai misi untuk menabur bakti kepada masyarakat. Begitu luhurnya kerjaya berkenaan, membuatkan ramai yang memandang tinggi kepada kerjaya ini. Tidak kira di mana ditempatkan, mereka tetap setia berbakti bagi insan yang memerlukan. Hakikatnya, walau di bumi mana sekalipun jururawat dihantar bertugas, jasa dan bakti mereka dipandang tinggi oleh masyarakat di kawasan itu yang sudah tentu menghargai khidmat dicurahkan tanpa mengenal erti penat. Bahkan, kini tugas jururawat sudah menjangkau jauh ke luar daripada kepompong tempatan kerana ada jururawat dari negara ini menumpahkan khidmat mereka di hospital mahupun pusat kesihatan di luar negara serta tidak kurang juga yang memilih menjadi jururawat peribadi dengan gaji yang lebih lumayan.
Justeru, tugas jururawat amat wajar dihargai kerana ada ketikanya dengan tutur kata dan air muka jururawat yang sejuk mata memandang, kita sebagai pesakit akan berasa pulih sedikit daripada kesakitan yang dihadapi.
SELAMAT HARI JURURAWAT!
Sekian, terima kasih.
0 comments:
Post a Comment