Pages

Ads 468x60px

Thursday, 11 December 2014

Sekuntum Melur Nan Indah Nun Jauh di Pedalaman Sabah



Oleh : Izz Purple

01 Disember 2014

"Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhirnya guruku,

Budi yang diapung di dulang ilmu

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat,

Menjadi kenangan di akhir hayat."

 
Petikan sajak Dato' Usman Awang bertajuk 'Guru oh Guru' terlalu tepat untuk menggambarkan jasa sebutir permata negara yang menyinari masyarakat di Pedalaman negeri Sabah. Berbekal Ilmu kepimpinan,  tabah serta sabar, tekun dan dedikasi menabur bakti kepada generasi pewaris bangsa tanpa jemu jauh sekali sekelumit keluhan. Saya rasa seberat manapun cabaran yang dihadapinya beliau tidak pernah mengalah. Semua cabaran didepani, disahut dan diterjemah menjadi kejayaan yang begitu manis dan terbilang. Menjadi sebutan, pengalaman dan pengajaran semua untuk membuat yang terbaik setiap kali. Tanpa usaha dan pengorbanan sepahit hempedu, sememangnya takkan ada kejayaan semanis madu.

Sepanjang bersama dan memerhati selama 13 tahun, beliau sememangnya mempunyai aura yang tinggi  dan boleh membawa semua kakitangan bekerja di bawahnya dengan penuh komitmen. Cara beliau menangani dan menghadapi staf yang seribu satu fiil dan sikap memang unik dan tersendiri. Tegas tetapi lembut menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani oleh semua. Seorang pemimpin yang sebenarnya. Saya pernah belajar tentang personaliti manusia dalam satu kursus yang dihadiri. Beliau sememangnya personaliti A iaitu ‘lahir untuk menjadi pemimpin’. Juga personaliti B yang sangat teliti dan sistematik dalam melaksanakan tugas. SubahanAllah.

Dalam ketegasan dan kewibawaan itu, beliau sentiasa merendah diri apabila bekerja bersama. Saya selalu mendengar beliau menasihati staf yang akan menjalankan benchmarking atau kursus untuk bersikap merendah diri untuk menimba lmu yang bermanfaat. Semestinya ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Beliau sering bertanya dan mengambil kira pendapat sesiapa sahaja. Ibu bapa dan masyarakat juga sangat menghormati dan meletakkan beliau di tempat istimewa dan tersendiri. Menonjol dalam apapun keadaan walau bersama dengan orang kenamaan. Selalu menjadi yang unik dan hebat. Betapa permata yang sangat berkilau! MashaAllah..

Terlalu banyak kisah dan cerita bersama beliau untuk dikongsikan. Namun, semuanya takkan habis untuk dicoretkan. Seperti hari ini saya ditemuduga untuk penilaian prestasi sepanjang tahun 2014. Kata-katanya tegas dalam kelembutan seorang ketua. Terpancar kewibawaan, komitmen dan ketelitian beliau menangani dan menghadapi sesuatu walau sekecil zarah sekali pun. Ketenangan, kerendahan hatinya..Ya Allah, sifat yang selalu ingin saya contohi & kagumi setiap kali. Memang saya benar-benar mengagumi beliau. Nasihat yang memberi makna, sentiasa bermakna ; Jika ada masalah yang sukar diselesaikan, serahkan kepada Allah. Doa banyak-banyak dan Allah akan bantu. Herm, selesai temuduga. Lega! Melangkah keluar dengan senyuman. Syukur Alhamdulillah..

Sebenarnya sudah hampir dua tahun ini saya ingin mencoretkan isi hati untuk beliau dan menulis tentang sifat-sifat kepimpinan yang baik dan berkesan agar kepimpinan beliau takkan terbiar begitu sahaja serta boleh dimanfaatkan oleh semua. Moga niat membukukan coretan ini akan terlaksana. InshaAllah..Tulisan ini juga diniatkan sebagai sebuah hadiah bermakna apabila beliau bersara nanti. Luahan dan coretan paling ikhlas yang lahir dari hati seorang staf yang mengagumi dan bersyukur atas kehadiran beliau dalam hidup ini. Sememangnya beliau adalah satu anugerah yang Allah pinjamkan untuk kita membaiki diri, muhasabah diri dan menjadi lebih baik dalam kehidupan ini. Alhamdulillah.. Setiap hari yang terluang disedekahkan Al-Fatihah dan Yaasin untuk kesejahteraan hidup beliau dunia akhira. Berkat hidup, diberi kesihatan yang baik, dimudahkan urusan dan mudah memimpin kami semua staf kolej ini sepanjang masa.
Saya banyak berkongsi dengan suami tentang beliau. Cerita-cerita, pengalaman seharian bersama beliau, hatta sekecil apa pun yang berlaku hari ini. Selalunya tiada yang terlepas pandang. Seperti tadi, saya berbual dengan suami tentang persaraan beliau tahun depan. Suami menyatakan betapa ruginya arena pendidikan kehilangan beliau walaupun cuma bersara. Suami terasa sedih. Saya sudah hampir setahun ini bersedih hanya kerana beliau akan bersara. Betapa pilu dan robek perasaan bilamana tidak lagi berada di bawah kepimpinan beliau nanti. Tak sedar menitis air mata. Betapa bermaknanya kehadiran beliau dalam hidup kita selama ini. Jika yang sedar dan bersyukur, kehadirannya bukan sekadar sebagai seorang ketua tetapi segala-galanya. Sememangnya syukur sangat berpeluang belajar segalanya daripada beliau. Hanya 13 tahun. Satu tempoh yang lama bagi sesetengah orang. Tapi bagi saya, terlalu singkat dan terlalu bermakna.

Tentang tugas, segala kerja yang diarahnya walaupun kadang mulanya sukar saya cuba laksanakan sebaiknya. Dalam menyiapkan tugasan,  tidak kurang air mata menitis apabila beliau agak marah kerana yang diminta atau apa yang saya hasilkan tidak sepertinya, buat lagi dan kadang buat semula untuk beberapa kali sehingga betul dan berasa penat. Bekejar menyiapkan tugas, menunggu di sekolah untuk tempoh yang agak lama. Kadang balik dan datang semula ke sekolah di kala orang lain berehat dan bersantai bersama keluarga. Namun, saya sedar setiap kali siap melakukan kerja tersebut, saya banyak belajar dari semua kesukaran itu. Ada ilmu baru terselit di situ. Jarang orang sedar sebenarnya tentang hal ini. Nikmatnya mendapat ilmu baru dan boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja seterusnya. Semestinya kerja berkaitan yang akan datang menjadi mudah dan senang untuk dilakukan. Betul seperti kata beliau yang pernah diungkapkan " Ada manisnya menunggu"..SubahanAllah..

Sememangnya saya tidak dapat membalas semua kebaikan dan ilmu yang diberinya. Beliau terlalu prihatin dan mengambil berat kebajikan semua stafnya. Satu peristiwa yang saya takkan pernah lupa semasa baru setahun bertugas di sini ialah apabila beliau memberikan ubat kepada ayah apabila mengetahui saya hendak menjenguk ayah yang sakit dan sering pengsan di kampung. Saya bawa ubat itu ke kampung untuk beri ayah makan. Alhamdulillah..ayah sihat walafiat sehingga kini. Saya selalu menangis terharu mengingat kebaikan-kebaikan beliau. Tak dapat saya catatkan semuanya di sini. Biar Allah yang balas semuanya. Hanya Yaasin dan Al-Fatihah yang dapat disedekahkan untuk bekalan beliau di dunia akhirat sebagai hadiah yang dapat diberikan. Syukur Allah beri kekuatan dan peluang membacanya sementara hayat ini dipinjamkanNya..semoga doa-doa dan bacaan tersebut juga memberi manfaat kepada kesejahteraan semua umat muslimin dan muslimat...aamiinn.

Terima kasih Puan. Halalkan segala ilmu dan segala yang puan berikan kepada kami amnya dan kepada saya khususnya.. sayang puan!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

:-)

:-)

Lalalalaaaa~

Sample text

Comel


:-)

Penafian

Hakcipta Terpelihara © 2013 DiarykuPurple
Blog Diarykupurple tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada blog ini. Semoga bermanfaat.

Hohohooo~

SHOUT BUSUK : Start !-->